Utamakan Hak, Kedudukan Istimewa Orang Melayu Dan Bumiputera – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meneruskan imarah Ramadan beliau.
Kali ini beliau berbesar hati ke Tampin bagi menyantuni rakyat tempatan di samping memberikan bantuan kepada golongan memerlukan.
Kehadiran Jalaluddin itu menenerusi Program Ihya Ramadan Dan Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal Serta Asnaf yang diadakan di Masjid Sri Asahan, ia bagi meringankan beban mereka bersempena Ramadan ini dan Syawal yang bakal menjelma.
Beliau yang juga Exco Kanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, pada ucapannya turut menyampaikan harapan kepada ahli kariah yang hadir terhadap kepentingan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Asasnya agama Islam selaku agama Persekutuan dengan agama-agama lain bebas untuk diamalkan. Juga keutamaan kita dalam menjaga hak serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.
“Insya-Allah dengan berpandukan kepada Aspirasi Perpaduan, kehidupan bermasyarakat di Negeri Sembilan akan kekal bermuafakat dan bersatu padu,” katanya.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tampin yang juga Ahli Parlimen, Datuk Mohd Isam Mohd Isa; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Repah, Veerapan a/lSuperamaniam; Penyelaras DUN Gemas, Muhamad Firdaus Rustam dan kepimpinan setempat. – UMNO Online