The Young Muslimah Berjaya Himpun Lebih 1,000 Wanita Muda

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Program ‘The Young Muslimah, Perjalanan Muslimah Muda Dalam Dunia Moden’ yang berlangsung pada Sabtu berjaya mengumpulkan sekitar 1,000 wanita muda.

Exco Puteri UMNO Malaysia merangkap Biro Ekonomi Puteri UMNO Malaysia, Nooryana Najwa Mohd Najib berkata, program yang diadakan sempena Hari Wanita Sedunia itu telah dijayakan oleh NGO Kretip Malaya dengan kerjasama pelbagai pihak.

“The Young Muslimah, Perjalanan Muslimah Muda Dalam Dunia Moden merupakan satu program yang diadakan buat julung kalinya dan dianjurkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kretip Malaya dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Yayasan Bank Rakyat, Majlis Belia Wilayah Persekutuan serta Wardah.

“Program ini telah menghimpunkan sekitar 1,000 wanita muda di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Ia dilaksanakan bersempena Hari Wanita Sedunia yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

“Program ini juga membariskan panel-panel terkemuka seperti Ustaz Mizi Wahid, Ustazah Sharifah Khasif, Ayesha Syahirah, Ayana Moon, Erin Adlina Adnan, Nur Isadora Ismail dan penampilan khas The Helmis dengan beberapa perkongsian berkaitan Palestin,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, program ini dipenuhi dengan beberapa sesi perkongsian yang mencakupi ilmu agama dan juga kehidupan.

“Program ini dipenuhi dengan beberapa perkongsian yang dimulakan dengan sesi ‘Money, Motherhood and Marriage’, mengetengahkan Erin Adlina dan Nur Isadora Ismail untuk membincangkan perihal pengurusan kewangan serta pengalaman menjadi ibu termasuklah perkahwinan.

“Sesi kedua bermula dengan tajuk ‘Usahawan Akhirat: Mencari Keuntungan Di Dunia Dengan Hati Yang Kekal Di Syurga’ ini menampilkan Ustazah Sharifah Khasif dan Ayesha Syahirah sebagai panel jemputan untuk membincangkan perihal perjalanan seorang muslimah dalam mencari redha serta ketenangan tuhan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa program tersebut diteruskan dengan sesi ‘Heart To Heart Session’ dan diakhiri dengan slot khas bersama Ustaz Mizi Wahid.

“Program diteruskan dengan Slot ke-3, ‘Heart To Heart Session With Ayana Moon’, seorang mualaf dari Korea Selatan yang mengabdikan diri kepada kehidupan muslim sepenuhnya dan menjadi pempengaruh berhijab di Malaysia.

“Majlis diakhiri dengan slot khas bersama Ustaz Mizi Wahid, bercerita mengenai ‘Her Worth, Her Voice and Her Legacy’ melibatkan perjalanan wanita muda yang penuh dengan cabaran dunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit