Banjir: UMNO Beaufort Santuni Rakyat, Salur Bantuan Pastikan Keselesaan
BEAUFORT, 10 Mac – Situasi banjir di Sabah masih berlarutan dan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, turun padang bersama Jawatankuasa UMNO empat peringkat bahagian terbabit untuk menyantuni mangsa banjir serta menghulurkan bantuan segera.
Beliau telah menziarah mereka yang menjadi mangsa banjir dan berada di Dewan Kampung Kukut, di sini melibatkan lebih 90 buah keluarga mendapat perlindungan.
Menurut Awang Aslee, paras air masih berada di tahap bahaya, menyebabkan penduduk belum dapat pulang ke kediaman masing-masing.
“Alhamdulillah, saya dan Jawatankuasa UMNO bahagian sempat menyantuni mereka yang terkesan dengan menyalurkan bekalan air mineral dan juga tikar getah kerana masih ada lagi keluarga yang belum masuk ke dewan untuk berlindung,” katanya.
Bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah sejak beberapa hari lalu turut menjejaskan penduduk di Kuala Penyu. Kampung Tempurung dan Kampung Tenambak antara kawasan yang terkesan dengan keadaan air yang meningkat akibat hujan lebat berterusan.
Beliau juga berharap bantuan yang disalurkan dapat memberikan sedikit keselesaan kepada mereka yang terjejas serta mendoakan agar paras air segera surut.
Sebelum itu, UMNO Bahagian Beaufort juga telah melaksanakan misi bantuan banjir dengan menyalurkan bekalan air bersih ke PPS di Selagon.
“Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebajikan mangsa banjir terus terbela.
“Semoga penduduk yang terlibat dengan musibah banjir ini tabah menghadapi dugaan-Nya, lebih-lebih lagi dalam suasana kita melalui bulan Ramadan ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Awang Aslee turut meluangkan masa menyalurkan sumbangan sebuah kerusi roda kepada Jarah Lanih di Kampung Tempurung, Kuala Penyu.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu pergerakan beliau yang sebelum ini sedikit terbatas,” ujarnya lagi. – UMNO Online