Tegas Terhadap Penghinaan Agama, Jangan Ada ‘Double Standard’ – Saiful Fariddil

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Pemuda UMNO Negeri Perlis menegaskan bahawa penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata tindakan tegas dan adil perlu diambil terhadap mana-mana individu yang menghina agama tanpa mengira latar belakang.

Tegasnya, terdapat ketidakseimbangan dalam pelaksanaan hukuman apabila penghinaan terhadap agama Islam diperlakukan.

“Sering kali kita lihat apabila ada pihak yang mempersendakan agama Islam. Hukuman kepada mereka agak ringan jika dibandingkan apabila ada dikalangan orang Islam yang tanpa sengaja mempersendakan agama lain.

“Hal ini dapat lihat apabila tiga penyampai stesen Radio Era yang tanpa sengaja mempersendakan agama Hindu melalui video pendek yang tersebar di media sosial.

“Jika diperhatikan dengan lebih teliti video tersebut dengan mengadakan tarian adalah sekadar parodi kepada adik Miki Ghazali, iaitu atlet Muay Thai dari Sarawak ketika pertarungan tempoh hari,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar harap ketiga-tiga penyampai radio berkenaan lebih berhati-hati ketika mengadakan segmen demi menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

“Saya berharap selepas ini, semua pihak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan video-video parodi memandangkan Malaysia merupakan negara majmuk yang berbilang kaum demi menjaga sensitiviti dan keamanan negara.

“Ketiga-tiga penyampai radio tersebut telah memohon maaf dan telah digantung dari tugas mereka serta dikenakan siasatan yang telus serta adil kerana kekhilafan dari pihak mereka,” ujarnya.

Untuk rekod sebanyak 73 laporan diterima pihak polis berhubung video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio tersebut.

Ia mencetuskan kemarahan ramai terutamanya masyarakat Hindu yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap elemen keagamaan mereka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit