Kerajaan Johor Tekad Selesaikan Isu Parit Dan Saliran, Atasi Masalah Banjir – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah memberi jaminan untuk menyelesaikan isu berkaitan parit dan saliran di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) susulan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata satu penyelesaian bersepadu antara MBIP, agensi kerajaan, dan pihak pemaju akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir serta membangunkan sistem tebatan banjir yang lebih efektif bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

Beliau memaklumkan, mesyuarat bersama Datuk Bandar MBIP, Ahmad Nazir,dan ketua-ketua jabatan MBIP serta pihak SWCorp, SWM, dan JPS telah dilaksanakan bertujuan untuk mempercepatkan tindakan penyelesaian komprehensif yang melibatkan langkah-langkah segera, sederhana, dan jangka panjang.

“Dalam mesyuarat tersebut, MBIP telah mengenal pasti sembilan lokasi hotspot banjir, antaranya Batu 8 ½ Skudai, Kampung Poh Chee Leng, dan Jalan Zapin 3, yang terjejas akibat banjir pada 4 dan 5 Mac 2025 lalu,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelasnya, MBIP telah merangka beberapa tindakan untuk menangani masalah ini, dengan fokus pada tindakan segera, sederhana, dan jangka panjang.

“Tindakan segera yang pertama, MBIP telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera di lokasi terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama yang terdiri dari sampah-sampah domestik, sisa pokok dan landskap dan lain-lain sampah yang dihanyutkan sewaktu banjir berlaku.

“Tindakan jangka masa sederhana, kedua, MBIP juga akan memulakan proses penyediaan dokumen sebutharga dan tender untuk pelaksanaan kerja-kerja penggalian mendapan serta pembersihan di dasar parit dan saliran utama di dalam kawasan MBIP. Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf di lokasi banjir yang tidak melibatkan kajian khusus akan turut dilaksanakan MBIP dalam masa terdekat.

“Saya juga telah melaksanakan lawatan ke beberapa lokasi hotspot banjir. Berdasarkan lawatan yang dilaksanakan hari ini, MBIP juga telah memutuskan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dasar sungai dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.”

Selain itu katanya, MBIP akan membina tembok di kawasan parit bagi mengelakkan limpahan air yang boleh menyebabkan rumah penduduk dimasuki air.

“Bagi tindakan jangka masa panjang, MBIP akan melaksanakan kajian bagi memastikan kejadian banjir di kawasan hotspot banjir tidak berulang melalui pembinaan struktur kolam takungan dwi-fungsi.

“Saya juga memohon kerjasama rakyat Johor untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah dan mana-mana sisa domestik di dalam atau berhampiran saliran utama yang sudah pasti boleh menghalang aliran air sewaktu hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang berlaku,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit