Hormati Perbezaan Beragama, Pelihara Keharmonian Negara – Ahmad Zahid
MASJID TANAH, 7 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kesemua pihak untuk rasional dengan sentiasa menghormati amalan beragama masing-masing.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ia penting bagi menjamin teras keharmonian rakyat yang telah lama terjalin di negara ini.
“Kita harus memelihara keharmonian beragama di negara ini, apa pun agama yang diamalkan oleh rakyat harus menghormatinya.
“Dalam Al-Quran pun menyebutkan bahawa kita mesti menghormati agama lain agar orang lain menghormati agama kita.
“Dalam negara kita yang bermasyarakat maju tentunya ini telah menjadi amalan yang begitu lama dan tidak mahu sama ada seorang individu atau sebuah kumpulan, aliran kanan atau kiri menggunakan isu-isu agama ini untuk merungkai keharmonian yang sedia wujud di negara kita,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang Masjid Tanah hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa komited dalam memelihara perpaduan negara berlandaskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Tidak mahu ada jari yang menuduh kerajaan kononnya tidak mengambil peduli mengenai perkara ini, terutamanya apabila dalam isu mempertahankan agama Islam.
“Kita yakin kerajaan Madani ini berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, malah parti-parti di dalam ini juga mendukung tentang apa yang termaksud dalam Perlembagaan ini.
“Jangan ada tuding jari ataupun pihak-pihak yang mempertikaikan pendirian kerajaan dalam hal ini, terutamanya kenyataan yang dibuat sendiri oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan keharmonian beragama di negara kita,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut sama ditanya berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahmad Zahid berharap proses siasatan dilaksanakan secara profesional bagi mencapai keadilan.
“Kita menghormati SPRM, berharap SPRM berlaku adil dan tentunya profesional melakukan penyiasatan.
“Secara perabadi saya pernah mengalami perkara itu jelas apabila kes saya dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan sebagainya namun akhirnya keadilan dapat ditegakkan.
“Saya harap perkara yang sama akan dapat berlaku dan itulah harapan kita kepada SPRM,” ujar beliau. – UMNO Online