Dr Akmal Turun Padang Santuni Mangsa Banjir Di Merlimau

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh telah turun padang untuk menyantuni mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir di kawasan tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berhasrat untuk membantu para peniaga terjejas dengan memberikan khemah secara percuma.

“Semalam, akibat hujan lebat dan ribut, ramai peniaga kita yang mengalami kerosakan khemah sehingga ada di antara mereka terpaksa untuk tidak meneruskan perniagaan.

“Dengan kos untuk membeli baru sudah tentu ia tinggi bagi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan ini. Jadi, kepada mana-mana peniaga di Parlimen Jasin yang mengalami kerosakan khemah, Insya-Allah saya cuba bantu dengan khemah baru secara percuma.

“Mohon untuk isikan di pautan ini https://forms.gle/5ixdKsF9ciSMbTrv8. Insya-Allah kita akan berikan kepada mereka yang memerlukan terlebih dahulu. Kita bantu semampu kita,” katanya.

Terdahulu, Dr Akmal dalam hantaran lain turut menyeru semua mangsa banjir untuk hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi tujuan pendaftaran dan berbuka puasa.

“Saya minta semua mangsa banjir untuk hadir ke PPS untuk mendaftar sama ada mahu menetap di PPS ataupun tidak supaya kita dapat bantu mudahkan urusan mereka.

“Malam ini untuk berbuka juga kita sediakan makanan kepada semua, bukan hanya yang tinggal di PPS. Tetapi, mangsa yang tinggal di rumah pun boleh datang sekali.
Kita permudahkan urusan mereka Insya-Allah, Allah permudahkan urusan kita,” katanya.

Dalam hantaran sebelumnya, Dr Akmal juga memaklumkan bahawa dua PPS telah dibuka dan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang membantu proses pemindahan mangsa.

“Kita telah buka dua PPS di Merlimau melibatkan hampir 100 buah rumah yang terjejas seluruh Merlimau… yang mana perlu dipindahkan awal, telah kita lakukan. Terima kasih kepada semua agensi yang membantu.

“Tidak terhingga sayangnya saya kepada warga Merlimau. Mereka adalah keluarga saya sendiri. Anak kampung untuk orang kampung,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 330 orang daripada 93 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 248 orang daripada 77 keluarga pada 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kesemua mereka melibatkan penduduk yang terjejas di dua daerah, iaitu Melaka Tengah serta Jasin dengan mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit