Jeffery Nor Bidas Dakwaan Pas, Tegaskan UMNO Komited Bela Rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 6 Mac – Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed membidas mana-mana pihak termasuklah Pas yang cuba memainkan sentimen dan mendakwa UMNO tidak menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Tegasnya, sepanjang 34 tahun UMNO bertapak di Sabah, perjuangannya sentiasa sebati dengan tekad membela masyarakat sebagaimana merealitikan slogannya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Terdahulu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid dilapor berkata, janji-janji yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu masalah air, elektrik dan jalan raya di negeri ini dimasukkan dalam manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu diteliti sebelum dipercayai kerana selama UMNO mentadbir Sabah isu-isu seperti ini tidak pernah diselesaikan secara tuntas.

“Lihatlah pada fakta dan bukan hanya bercakap untuk kepentingan politik semata-mata. UMNO/Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pelbagai pembangunan di Sabah sepanjang tempoh pemerintahannya, termasuk dalam aspek infrastruktur, ekonomi, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat.

“Dari segi infrastruktur dan pengangkutan, pewujudan Lebuh Raya Pan Borneo iaitu laluan tanpa tol yang menghubungkan Sabah dan Sarawak hingga dapat meningkatkan aksesibiliti dan ekonomi. Pembinaan dan penambahbaikan jalan raya, termasuk jalan luar bandar untuk menghubungkan kawasan pedalaman ke bandar.

“Dalam sektor ekonomi, Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dibangunkan sebagai hab industri untuk menarik pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain tumpuan kepada sektor pertanian dan akuakultur melalui pelbagai inisiatif yang membantu meningkatkan pendapatan rakyat, terutama di kawasan luar bandar,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas Jeffery Nor, UMNO/BN turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pendidikan di Sabah dengan penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memberi peluang kepada anak negeri mendapatkan pendidikan tinggi berkualiti tanpa perlu berhijrah ke Semenanjung.

“Selain itu, penubuhan Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GiatMARA telah melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri tempatan dan anak-anak muda tidak perlu keluar merantau jauh untuk mendapatkan pelbagai kemahiran.

“Sewaktu menjadi kerajaan, UMNO/BN komited memastikan keperluan asas rakyat Sabah dipenuhi. Projek bekalan air bersih, elektrik luar bandar (BELB) dan pembinaan menara telekomunikasi telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuklah di kawasan pedalaman.

“Rakyat Sabah mendapat banyak manfaat hari ini yang semuanya boleh dikatan hasil dari idea kepimpinan kerajaan UMNO/BN. Justeru mana-mana pihak yang cuba menafikan perlu lihat sekelilingnya sebelum cuba membuat apa-apa kenyataan tidak benar,” katanya lagi.

Sebelum itu, dalam semangat menyambut bulan Ramadan, Jeffery Nor berkesempatan menziarah empat keluarga di Kampung Contoh, di sini bagi mengeratkan silaturahim dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, sebuah kerusi roda turut diserahkan kepada seorang ketua cawangan UMNO bagi membantu keperluan pergerakan beliau di samping beberapa keluarga lain juga dikunjungi.

“Semoga dengan sumbangan kecil ini, ia dapat meringankan beban keluarga-keluarga dalam menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Saya berdoa agar Allah SWT melindungi dan memberikan rahmat kepada mereka semua,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit