RM58.07 Juta Diperuntukkan Untuk 16 Projek Naik Taraf CIQ BSI dan KSAB – MB Johor

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa sebanyak RM58.07 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 16 projek pembangunan fizikal di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Ujarnya, inisiatif ini bertujuan untuk melancarkan pergerakan rentas sempadan serta memperkukuh imej negeri Johor dan negara sebagai salah satu pintu masuk utama yang paling sibuk di Malaysia.

“Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, usaha untuk penambahbaikan pintu masuk sempadan akan terus dipertingkatkan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1/2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof di Kuala Lumpur yang membincangkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan di pintu sempadan negara.

Ujarnya, antara langkah yang bakal diambil segera ialah:
1. Pelaksanaan sistem kod QR untuk lorong kereta di BSI dan KSAB;
2. Penguatkuasaan JPJ terhadap bas kilang yang mengambil penumpang secara tidak terkawal;
3. Penyusunan semula syif pegawai imigresen bagi meningkatkan kecekapan kaunter manual;
4. Pembukaan laluan pejalan kaki dari Jalan Lingkaran Dalam ke laluan bas masuk BSI bagi memudahkan pergerakan pengguna;
5. Penggantian infrastruktur uzur seperti lif, eskalator dan travelator untuk meningkatkan kemudahan di CIQ.

Menurut Onn Hafiz, dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kelancaran pergerakan rentas sempadan menjadi semakin kritikal.

“Oleh itu, pelaksanaan inisiatif serta projek naik taraf ini amat penting bagi memastikan negara bersedia menampung jumlah pengembara yang semakin meningkat, dianggarkan kini 500,000 keluar masuk setiap hari.”

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta agensi-agensi berkaitan yang komited dalam menangani isu kesesakan di pintu sempadan negara dengan berkesan.

Datuk Onn Hafiz berharap dengan pelaksanaan infrastruktur moden dan sistem rentas sempadan yang cekap, manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat Johor dari segi kelancaran pergerakan serta pertumbuhan ekonomi negeri.

“Insya-Allah, usaha ini akan terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri maju dan berdaya saing,” katanya lagi.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit