MARA: Selagi Menerajui… Kita Tidak Benarkan Hak Orang Melayu, Bumiputera Disentuh
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi menegaskan bahawa hak orang Melayu dan bumiputera tidak akan ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak selagi UMNO menerajui institusi tersebut.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO memaklumkan bahawa status Tajaan Pendidikan MARA (TESP) sudah kembali kepada asal dan para pelajar sudah boleh mula melakukan semakan.
“Saya banyak membaca komen-komen daripada pelajar dan ibu bapa, isu ini memang viral. Tapi, saya tidak mahu cerita benda yang dah lepas dan keputusan terkini yang boleh saya sebutkan, kita kembali semula kepada asal untuk TESP.
“Maknanya, Insya-Allah, semua akan dapat balik (pinjaman TESP). Jadi, maklumat ini akan sampai dari semasa ke semasa bermula petang tadi. You can check the status by tomorrow,” katanya menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya.
Ujarnya, institusi MARA ini penting untuk menjaga anak-anak Melayu dan bumiputera, sekaligus menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO.
“Sebab itulah saya sentiasa berbincang dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menjaga MARA untuk memastikan bajet setiap tahun. Sama ada kita akan dapat peruntukan yang sama atau ada pertambahan.
“Alhamdulillah tahun ini ada penambahan (bajet). Ada sebab kenapa saya cuba untuk menzahirkan kewujudan MARA ini supaya pimpinan atas sedar bahawa institusi ini penting untuk jaga anak-anak Melayu dan bumiputera.
“Kalau ada tohman yang mengatakan semenjak UMNO bersama dengan DAP, DAP ganggu. Saya ni Setiausaha Agung UMNO. Saya jadi Pengerusi MARA. Menterinya pula adalah Presiden UMNO. Selagi kami menerajui MARA, kita tidak akan benarkan seinci pun hak orang Melayu dan bumiputera disentuh oleh mana-mana pihak,” katanya. – UMNO Online