Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Depani Isu Nelayan Bakal Ditubuh – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 5 Mac – Sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) akan ditubuh bagi mendepani isu-isu nelayan negara ini, supaya kebajikan golongan tersebut terus terjamin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu yang bakal dipengerusikannya, akan dikoordinasi bersama lima kementerian melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Ekonomi.

 

Beliau berkata cadangan penubuhan HLC itu akan dibawa ke Kabinet pada Jumaat ini.

“…ini bagi mencari jalan menyelesaikan beberapa permasalahan disebutkan dalam sesi libat urus (SLU) bersama komuniti nelayan yang berjalan di lima zon.

“Sudah tentu isu-isu ini berlainan antara satu sama lain tetapi kebanyakan isu ini ada persamaan,” katanya pada sidang media selepas SLU bersama komuniti nelayan zon Pantai Barat, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit