Usaha Baik Pulih Jalan Kota Marudu, JKR Sabah Pastikan Keselesaan Pengguna – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kementerian Kerja Raya sentiasa memberi perhatian terhadap kerosakan jalan raya yang berlaku di Sabah khususnya di Daerah Kota Marudu.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Kementerian ini melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedia maklum dan telah menerima laporan kerosakan jalan yang agak kritikal di Kota Marudu yang berlaku sejak akhir tahun 2024.
Katanya, Kementerian bersama JKR Sabah akan sentiasa komited bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna Jalan Raya Persekutuan khususnya di Sabah berada pada tahap yang baik.
“Kerosakan kawasan ini disebabkan oleh keadaan cuaca hujan yang berlebihan sejak beberapa bulan dan kenderaan berat yang kerap menggunakan Jalan Persekutuan untuk mengangkut bahan binaan.
“Sebahagian laluan Jalan Persekutuan digunakan oleh lori-lori pembinaan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah laluan Kota Belud ke Kudat yang baharu dimulakan sejak bulan Oktober tahun lalu.
“Pembinaan projek kibbing solar glass yang sedang dilaksanakan di Kudat turut menggunakan laluan Kota Marudu ke Kudat sebagai laluan utama membawa bahan binaan dan telah memburukkan lagi jalan persekutuan yang sedia ada,” katanya.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan tindakan pihak Kementerian untuk memperbaiki jalan-jalan Persekutuan yang tidak selamat akibat kerosakan dan berlubang di kawasan khususnya Kota Marudu dan negeri Sabah amnya.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan jalan persekutuan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat perlu dinaik taraf kerana sudah melebihi jangka hayat melebihi 20 tahun sejak ia dibina.
“Setakat ini anggaran kerosakan jalan yang telah dikenal pasti di laluan Kota Marudu ke Kudat telah mencecah RM71.2 juta bagi kawasan yang kritikal. Kerosakan ini bukan sahaja menjejaskan Jalan Persekutuan di Kota Marudu malah kerosakan telah berlaku dari Kota Belud sehingga ke Kudat.
“Anggaran kerosakan jalan dengan mengambil kira senarai keutamaan penyenggaraan berkala pavemen. Kementerian telah meluluskan 16 Arahan Kerja (AK) dengan kos sebanyak RM47.45 juta bagi Daerah Kota Marudu, Kota Belud dan Daerah Kudat.
“Kerja-kerja penyenggaraan kerosakan jalan ini akan dilaksanakan secara Localised Heavy Patching dan pengukuhan semula roadbased menggunakan Geogrid & Glassgrid bagi mengukuhkan struktur jalan yang telah gagal,” jelasnya.
Tambah Ahmad lagi, peruntukan ini bertujuan untuk memastikan penyelenggaraan jalan dapat dilakukan secara berterusan demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Permohonan Anggaran Penyelenggaraan Jalan (APJ) tahun 2025 untuk berkala pavemen bagi jalan Persekutuan Negeri Sabah sebanyak RM421.994 juta sehingga bulan februari 2025.
“Kelulusan berkala pavemen yang telah diberikan kepada Jalan Persekutuan Negeri Sabah adalah RM117.0 juta,” ujarnya. – UMNO Online