UMNO Bahagian Putrajaya Kekal Komited Membantu Rakyat di Bulan Ramadan
PUTRAJAYA, 3 Mac – Sempena keberkatan bulan Ramadan, Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meneruskan tradisi kebajikan dengan menyumbangkan pek makanan berbuka puasa kepada masyarakat di setempat.
Ujarnya, usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan yang telah sebati dengan UMNO Bahagian Putrajaya, dalam hasrat mendekati dan membantu rakyat sepanjang bulan penuh keberkatan ini.
“Setiap kali Ramadan tiba, kami sekeluarga dan UMNO Bahagian Putrajaya sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat dan membantu mereka yang memerlukan. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan tradisi yang telah sebati dengan kami sejak sekian lama,” katanya kepada UMNO Online.
Semalam, 300 bungkus pek makanan berbuka puasa telah diagihkan antaranya ke Surau Al-Insanniah, Surau Muhajirin, dan Surau Al-Falah di Presint 9, dengan setiap surau menerima 100 bungkus pek makanan untuk dinikmati oleh jemaah dan penduduk sekitar.
Kata Tengku Adnan, langkah ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semangat perpaduan dan kasih sayang dalam komuniti terus diperkukuhkan dalam bulan ini.
“Selamat berbuka puasa kepada seluruh warga Putrajaya yang sentiasa dekat di hati saya dan isteri. Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu mereka yang memerlukan serta membawa keberkatan kepada kita semua,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tanda sokongan dan kebersamaan dalam masyarakat, selaras dengan semangat Ramadan yang menggalakkan sifat memberi dan berkongsi rezeki. – UMNO Online