TVET: Kementerian Ambil Langkah Proaktif, Libatkan Anak Muda Setiap Parlimen
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kerajaan dilihat mengambil langkah proaktif dengan melibatkan anak muda setiap parlimen sebagai penyelaras agar ia boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat tanpa keciciran.
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi menerusi hantaran di laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada para penyelaras TVET yang telah dilantik untuk kawasan Parlimen masing-masing.
“Tahniah diucapkan kepada semua sahabat yang telah dilantik menjadi penyelaras TVET untuk parlimen masing-masing. Semoga usaha pemerkasaan TVET dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini mampu menarik minat anak muda di luar sana, memandang TVET sebagai pilihan utama untuk kerjaya mereka pada masa akan datang.
“Saya masih ingat, sewaktu berada di platform Parlimen Belia yang lepas, perbahasan saya terhadap pemilihan TVET sebagai kerjaya utama sememangnya menjadi cabaran. Ini kerana kebanyakan ibu bapa pada waktu itu melihat TVET adalah pilihan kedua dalam membina kerjaya.
“Fast forward, selepas lima tahun TVET diberikan pelbagai pendekatan dan penambahbaikan, saya melihat ramai anak muda luar sana sudah mula menyedari kelebihan TVET ini untuk masa hadapan mereka. Dahulunya mungkin kurang popular, sekarang sudah menjadi pilihan utama,” katanya.
Tegasnya, segala perlaksanaan memerlukan satu pasukan yang komited untuk merealisasikannya meskipun ia mengambil masa bertahun.
“Sedarlah saya bahawa, apa sahaja perlaksanaan memerlukan satu pasukan yang sangat komited dalam menyampaikan ‘point-point’ penting walaupun memakan tahun dan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi.
“Antara salah satu program yang boleh diangkat dan dibanggakan adalah Program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) oleh Universiti Teknikal Melaka (UTeM).
“…dalam merancang untuk memperluaskan program khas TVET wanita melalui memperkasakan wanita terutamanya wanita muda menerusi beberapa bidang latihan seperti teknologi kejuruteraan, keusahawanan, kepimpinan, pengangkutan mahupun fesyen,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa usaha kerajaan ini dapat menyangkal tohmahan pihak pembangkang yang tidak berhenti cuba menaburkan fitnah.
“Selaras dengan kecanggihan teknologi, KKDW mengambil langkah proaktif melibatkan anak muda setiap parlimen sebagai penyelaras agar perlaksanaan TVET ini boleh dicapai oleh semua lapisan anak muda dan kita berharap tiada satu pun yang tercicir.
“Kenyataan ini juga dapat menyangkal tohmahan dari pihak pembangkang yang cuba memfitnah usaha murni yang dilakukan ini demi pembangunan anak bangsa kita.
“Teruskan berkhidmat dan menjadi rujukan utama supaya apa yang telah dibina lebih 60 tahun lalu tidak dimusnahkan oleh tangan jahat begitu sahaja. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua sahabat! Selamat menjalankan tugas di parlimen masing masing,” katanya lagi. – UMNO Online