Program Ramadan Harus Diisi Dengan Kesederhanaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa program Ramadan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak haruslah diisi dengan kesederhanaan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berpesan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan supaya mengelakkan pembaziran sepanjang bulan Ramadan.
“Dalam Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua agensi dan jabatan Kerajaan supaya mengelak pembaziran dalam penganjuran program sepanjang Ramadan, termasuk majlis berbuka puasa atau iftar.
“Beliau turut mengingatkan bahawa Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran, justeru wajar bagi umat Islam mengambil pengajaran dengan meningkatkan pembacaan dan pembudayaan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Teguran ini membawa mesej yang jelas bahawa setiap program Ramadan seharusnya diisi dengan nilai kesederhanaan dan pengisian rohani yang bermakna, bukan kemewahan yang melampau,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berharap agar penghayatan Ramadan pada tahun ini lebih bermakna di samping mengambil peluang memperkukuhkan integriti, mendidik disiplin dan memelihara kejujuran.
“Tambah beliau, Ramadan juga merupakan peluang untuk memperkukuhkan integriti, mendidik disiplin dan memelihara kejujuran dalam setiap tindakan kita.
“Semoga penghayatan Ramadan tahun ini lebih bermakna, dengan kembali menghayati roh sebenar ibadah demi membentuk insan yang lebih beriman, beretika dan bertanggungjawab kepada masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online