Depani PRN Sabah: Ulang Tahun Ke-34 Lonjak Semangat UMNO Tawau – Ghazalie

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ketua UMNO Tawau, Ghazalie Ansing melihat UMNO negeri berkenaan hari ini berada pada kedudukan yang tersendiri dan dalam keadaan yang cukup bersedia menempuh segala cabaran mendatang.

Apatah lagi kata beliau dengan ulang tahun UMNO negeri tersebut ke-34 baru-baru ini sudah pasti ianya bukan sahaja memberi suntikan semangat malah menjadikan seluruh jentera dan ahli serta pimpinan pelbagai peringkat berada dalam keadaan siap siaga.

“UMNO Sabah tahun ini agak istimewa kerana ia bersamaan dengan tahun Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa. Apa yang lebih menariknya suasana politik sepanjang 34 tahun UMNO di negeri ini amat penting.

“Dan semestinya pilihan rakyat, insya-Allah bakal memilih UMNO-BN sebagai pilihan utama pada PRN akan datang. Sangat istimewa ulang tahun pada kali ini yang mana diadakan di bahagian Tawau sendiri dan sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada UMNO Tawau untuk bergerak dengan penuh semangat,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi UMNO Tawau berada dalam ‘mood’ yang cukup baik dan akan dilipatgandakan usaha sebaiknya dalam hasrat membantu parti mencapai kemenangan pada PRN nanti.

“Jentera kita sentiasa bersedia dan sebenarnya UMNO daripada dahulu telah dilatih akan menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Sebab itulah kalau kita lihat sejarah UMNO-BN dalam mana-mana pilihan raya kecil sekali pun kita sentiasa bersedia… kerana jentera kita sentiasa siap siaga pada bila-bila masa.

“Justeru sempena ulang tahun ke-34 UMNO Sabah ini, marilah kita sama-sama kembali mendukung parti keramat ini dalam usaha mengembalikan kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat seluruh Sabah,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit