200 Lokasi Bazar Ramadan, 25 Bazar Aidilfitri Dilulus Di Johor – Mohd Jafni
JOHOR BAHRU, 3 Mac – Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meluluskan sebanyak 200 lokasi Bazar Ramadan dengan 11,202 petak niaga dan 25 lokasi Bazar Aidilfitri yang melibatkan 1,555 petak niaga bagi Ramadan dan Syawal tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata bahawa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan aspek keselamatan makanan dipatuhi menerusi pemeriksaan premis serta pensampelan makanan.
Selain itu katanya, pemantauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan dilakukan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan berkaitan tanda harga.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan makanan yang disediakan selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan di bawahnya. Selain itu, pematuhan kepada Akta Pencatutan dan Kawalan Harga juga akan ditekankan,” ujarnya kepada UMNO Online.
Beliau turut mengingatkan pengguna agar melaporkan sebarang aduan berkaitan pelanggaran syarat perniagaan, khususnya peniaga tanpa lesen dan peniaga warga asing, kepada PBT masing-masing.
Sementara itu, Mohd Jafni bersama beberapa pemimpin tempatan telah mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, yang mempunyai 160 tapak niaga dan merupakan antara bazar terbesar di bandar raya ini, semalam.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Usahawan & Koperasi merangkap ADUN Larkin, Mohd Hairi Mad Shah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Hafiz; serta beberapa pemimpin UMNO tempatan.
Mohd Jafni turut menyeru rakyat agar menjaga kesihatan, mengelakkan pembaziran, serta memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah. – UMNO Online