Keringat, Jasa Pengorbanan Tentera Terus Terpahat
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ulang tahun ke-92 Tentera Darat yang disambut pada 1 Mac adalah satu penghargaan khas untuk seluruh anggota berkenaan.
Menurut beliau keringat dan jasa pengorbanan mereka menjaga kedaulatan dan keselamatan negara tidak ternilai.
“1 Mac, kita juga memperingati ulang tahun ke-92 Tentera Darat Malaysia sebagai satu penghargaan khas buat seluruh anggota dan veteran Tentera Darat yang telah berkorban jiwa raga demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai.
“Setiap titik peluh dan pengorbanan mereka terpahat dalam lipatan sejarah tanah air, menjadi bukti semangat juang yang tidak pernah pudar. Keberanian dan kesetiaan mereka yang tidak pernah luntur dalam menjaga keamanan dan keharmonian bumi bertuah ini adalah inspirasi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kata beliau lagi sempena sambutan tahun ini yang bertemakan “Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan,” semua pihak perlu terus memperkukuh hubungan erat antara Tentera Darat dan rakyat.
“Bersama, kita bina Malaysia yang lebih kukuh, bersatu dan berdaya saing demi masa depan yang lebih gemilang.
“Semoga Tentera Darat Malaysia terus “Gagah Setia” melangkah ke hadapan, kekal relevan menghadapi cabaran semasa dan mendatang, serta menjadi inspirasi buat generasi akan datang,” ujarnya.- UMNO Online