Pelaburan: FELDA Komited Pastikan Jumlah Wajar Diperoleh

KUALA LUMPUR, 28 Feb – FELDA komited untuk memastikan jumlah yang sewajarnya diperolehi melalui keputusan timbang tara, kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa penurunan saham Bursa Saham Indonesia telah menyebabkan nilai pelaburan FELDA dalam PT Eagle High Plantation mengalami kemerosotan.

“Pertama, berkaitan dengan nilai pelaburan dalam PT Eagle High Plantations… benar, nilai pelaburan tersebut telah mengalami penurunan. Ini berpunca daripada penurunan harga saham di Bursa Saham Indonesia, yang telah menjejaskan nilai pegangan FIC Properties (FICP) dalam syarikat tersebut.

“Kedua, mengenai prosiding timbang tara antara FICP dan dua entiti Kumpulan Rajawali… saya ingin memaklumkan bahawa Tribunal Timbang Tara Antarabangsa telah mengeluarkan keputusan pada 14 Jun 2024, tertakluk kepada peraturan Singapore International Arbitration Centre (SIAC).

“Tribunal telah memutuskan untuk memihak kepada FICP dan mengarahkan salah satu atau kedua-dua entiti, iaitu Rajawali Capital International (RCI) dan Rajawali Corpora (RC), untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah perjanjian Put Option. Ini bermakna, mereka perlu membeli semula saham EHP daripada FICP pada kadar yang telah dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Jelasnya, FELDA dan FICP sentiasa berpegang teguh bahawa hak Put Option FICP adalah sah dan keputusan tribunal mengukuhkan pendirian tersebut.

“FELDA dan FICP sentiasa berpegang teguh bahawa hak Put Option FICP adalah sah, dan keputusan Tribunal ini mengukuhkan serta mengesahkan pendirian tersebut. Namun, selaras dengan peraturan SIAC dan tanggungjawab FICP dalam proses timbang tara, buat masa ini, butiran lebih lanjut tidak dapat didedahkan.

“Ketiga, mengenai manfaat yang telah diperoleh FELDA daripada pelaburan ini. Buat masa ini, FELDA masih belum menikmati sebarang manfaat secara langsung. Ini kerana FELDA masih mempunyai tanggungan pinjaman dengan GOVCO Holdings Berhad (sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) – yang ditetapkan untuk tempoh 20 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa FELDA kini sedang menilai pilihan-pilihan terbaik untuk melaksanakan keputusan tribunal tersebut.

“Keempat, apa tindakan FELDA seterusnya dalam memastikan kepentingan peneroka dan warga FELDA terpelihara? Saya ingin memberi jaminan bahawa FELDA komited untuk memastikan jumlah yang sewajarnya diperoleh melalui keputusan timbang tara ini. FELDA kini sedang menilai pilihan-pilihan terbaik bagi mengesahkan serta melaksanakan keputusan Tribunal tersebut.

“Ini adalah usaha berterusan FELDA dalam memastikan setiap keputusan yang dibuat membawa manfaat jangka panjang kepada peneroka dan warga FELDA. InsyaAllah, kita akan terus berusaha untuk melindungi kepentingan mereka dengan sebaik mungkin,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit