Mohd Zaidy Tegaskan Kerajaan Komited Sokong Pertanian, Bantu Penduduk

JEMPOL, 28 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited dalam menyokong sektor pertanian, khususnya bagi membantu penduduk kampung meningkatkan hasil dan taraf hidup.

Dalam satu program pertanian bersama penduduk Kampung Balai Cina, Rompin, beliau menyatakan penghargaan kepada petani yang gigih mengusahakan tanaman seperti petola, maman, ubi, cili api, dan kangkung.

Menurutnya, pertanian bukan sahaja menjadi sumber rezeki tetapi juga menyumbang kepada keselamatan makanan bagi komuniti setempat.

“Saya amat berbangga melihat kesungguhan penduduk dalam mengusahakan tanah. Kejayaan mereka membuktikan bahawa dengan usaha berterusan, ilmu, dan kesabaran, sektor pertanian mampu berkembang maju,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman turun padang dengan penduduk, termasuk memetik petola dan menyemai benih maman.
Ujarnya, pengalaman itu mengingatkan semua pihak tentang kepentingan memelihara dan mengembangkan warisan pertanian, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Kerajaan dan agensi berkaitan akan terus memberikan sokongan kepada petani melalui bantuan benih, baja, teknologi moden, serta akses pasaran yang lebih luas.

“Insya-Allah, dengan usaha berterusan, kita dapat memperkasakan sektor pertanian dan meningkatkan taraf hidup para petani,” tambahnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap usaha ini dapat diteruskan untuk manfaat bersama. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit