Penempatan ESSCOM Di Bawah KDN Tepat, Tangani Jenayah Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Keputusan kerajaan untuk menempatkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di bawah pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2 Julai 2018, adalah tepat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ini kerana katanya mengambil kira bahawa ancaman yang dihadapi masa kini di kawasan ESS Zone adalah tertumpu kepada aktiviti jenayah rentas sempadan.

Jelasnya, inisiatif untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam wajar diterajui oleh jabatan atau agensi di bawah KDN yang mempunyai kepakaran untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan.

“ESSCOM berhadapan dengan isu jenayah rentas sempadan seperti penculikan, militan, penyeludupan barang kawalan atau bersubsidi, barang tanpa cukai dan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan isu-isu penguatkuasaan berkaitan ketenteraman awam berbanding isu keselamatan kedaulatan negara.

“Antara perundangan yang dikuatkuasakan bagi menangani isu jenayah rentas sempadan ini termasuklah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Akta Culik 1961.

“Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022, Akta Pendaftaran Negara 1959, Akta Perikanan 1985 atau Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa operasi di ESSCOM diletakkan di bawah KDN dan ancaman yang melibatkan pencerobohan ke atas kedaulatan negara ia perlu dipertanggungjawabkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata agenda utama keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini ialah mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan institusi utama negara.

“Penempatan ESSCOM di bawah KDN merupakan keputusan yang tepat kerana jaminan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur, berdaulat dan dihormati di persada dunia berpaksi kepada kesepaduan serta sinergi kerjasama yang efektif dan efisien antara jabatan/agensi Persekutuan dan negeri dalam kluster keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan negara.

“Pelaksanaan operasi-operasi keselamatan oleh pihak ATM untuk melindungi kepentingan negara dan keutuhan wilayah di kawasan hadapan pantai Timur Sabah akan memastikan operasi jabatan/agensi keselamatan dalam menguatkuasakan undang-undang negara dapat berjalan dengan lancar dan berkesan di kawasan ESS Zone, khasnya,” katanya lagi.

Jelasnya, ATM yang juga sebahagian daripada komponen keselamatan di dalam ESSCOM turut memainkan peranan yang signifikan bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara terutamanya sebagai pasukan cegah rintang untuk menyekat pencerobohan tentera negara asing. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit