Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging FELCRA Perintis Keterjaminan Makanan Negara

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keterujaan apabila satu lagi sejarah tercipta dengan pelancaran Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging Sistem Tertutup terbesar milik agensi kerajaan di Malaysia.

Dikendalikan FELCRA Berhad yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau berkata kompleks berteknologi tinggi ini dibangunkan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin di atas tanah seluas 50 ekar dengan 10 reban moden yang mampu menghasilkan 1.5 juta ekor ayam setahun.

“Mengapa ini penting? Menjamin bekalan ayam yang lebih stabil dan berkualiti tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada import, sekali gus mengukuhkan keterjaminan makanan negara, membuka peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat desa, memperkasakan ekonomi luar bandar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata hampir tiga tahun menerajui kementerian ini beliau melihat FELCRA sebagai agensi yang tidak hanya menjaga kepentingan peserta, tetapi juga berani meneroka sektor baharu.

Menurut beliau ini kerana selepas kejayaan Loji Janakuasa Biogas terbesar di Jerantut, serta pelbagai produk seperti minyak masak dan beras jenama FELCRA, kini mereka terus mara dalam industri ternakan.

“Saya percaya ini juga adalah pelaburan strategik untuk masa depan rakyat dan negara. Jika FELCRA terus dipacu dengan baik, ia mampu menjadi pemimpin utama dalam sektor agro-makanan negara!

“Saya yakin, Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging ini akan menjadi pemangkin kepada kestabilan makanan dan kesejahteraan ekonomi desa. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit