Menjelang Ramadan: UMNO Tanah Merah Hargai Jentera Parti, Agih Bantuan
TANAH MERAH, 25 Feb – UMNO Bahagian Tanah Merah, di bawah kepimpinan Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, telah melancarkan program Sumbangan Kotak Makanan Ramadan 1446H/2025M bagi menghargai jentera parti di bahagian itu.
Menurutnya, sebanyak 4,000 kotak makanan akan diagihkan kepada jentera UMNO di setiap cawangan melalui ketua-ketua cawangan.
Katanya, sumbangan ini bukan sekadar bantuan biasa, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada jentera yang sentiasa bekerja keras dalam menggerakkan parti di peringkat akar umbi.
“Saya berharap agar usaha ini membawa kebaikan berpanjangan dan keberkatan. Sumbangan ini merupakan inisiatif daripada UMNO Bahagian Tanah Merah bagi menghargai kesetiaan jentera-jentera UMNO Bahagian Tanah Merah.
“Sumbangan 4,000 kotak makanan itu akan mula diagihkan kepada jentera di cawangan- cawangan melalui ketua-ketua cawangan. Inisiatif ini bertujuan memastikan mereka yang telah banyak berkorban demi perjuangan parti mendapat sedikit bantuan menjelang bulan Ramadan.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial bagi memastikan kesejahteraan mereka yang banyak berbakti kepada parti,” katanya.
Justeru katanya lagi, sumbangan ini diharap dapat memberikan semangat dan motivasi kepada mereka untuk terus bekerja dengan lebih gigih demi perjuangan parti dan kebajikan rakyat.
“Jentera parti merupakan tulang belakang kepada kekuatan UMNO di peringkat bahagian dan cawangan.”
Maklumnya, majlis pelancaran sumbangan ini mendapat sambutan baik daripada kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Tanah Merah dan menyifatkan program ini sebagai satu langkah positif dalam mengeratkan hubungan sesama ahli serta menghargai kerja keras jentera parti.
Sehubungan itu, katanya, UMNO Bahagian Tanah Merah bertekad untuk terus memperkukuhkan sokongan dan kebersamaan dalam kalangan ahli serta memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian, khususnya menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. – UMNO Online