Kehadiran Presiden Suntik Semangat, UMNO Kalabakan Optimis Perkukuh Perjuangan
TAWAU, 25 Feb – Kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sambutan ulang tahun UMNO Sabah ke-34 dan merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Kalabakan telah memberi suntikan semangat kepada anggota parti untuk terus berjuang dan menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, merangkap Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, mewakili seluruh kepimpinan dan ahli-ahli UMNO Kalabakan, menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian Presiden UMNO menyempurnakan majlis perasmian tersebut.
“Insya-Allah, pejabat baharu ini akan menjadi medan strategik untuk merancang dan melaksanakan agenda perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan tanah air di negeri Sabah,” ujar Samasuddin ketika dihubungi UMNO Online.
Menurut beliau, fasiliti yang lebih moden dan selesa ini akan memperkukuhkan lagi gerak kerja jentera parti, memastikan setiap usaha dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, serta menyemarakkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli UMNO di Kalabakan khususnya.
“Perjuangan ini bukan sehari dua, tetapi sudah lebih tiga dekad lamanya. Pernah diuji, pernah digugat, tetapi semangat ahli UMNO di Sabah tidak pernah luntur. Setiap kejatuhan menjadikan UMNO Sabah lebih kuat. Setiap cabaran membakar semangat untuk terus maju.”
Beliau menegaskan bahawa UMNO Sabah akan terus melangkah ke hadapan demi rakyat, demi negeri, dan demi kesinambungan perjuangan.
Ujarnya, suasana penuh semangat dan kehadiran orang ramai atas rasa kebersamaan jelas kelihatan, membuktikan bahawa UMNO Sabah masih mendapat sokongan padu dari akar umbi.
“Ahli-ahli UMNO mempunyai peranan yang sangat besar dalam memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat malah perjuangan parti tidak hanya tertumpu kepada politik semata-mata, tetapi juga melibatkan pembangunan sosial dan ekonomi bagi memastikan kemajuan yang lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan ahli parti bagi memastikan kelangsungan perjuangan UMNO di Sabah.
“Kita tidak boleh berpecah. UMNO Sabah perlu bersatu hati dan terus berkhidmat untuk rakyat. Setiap cabaran harus kita hadapi dengan penuh keazaman.”
Ujarnya, dengan perasmian pejabat baharu ini, UMNO Bahagian Kalabakan optimis bahawa ia akan menjadi pusat rujukan utama bagi rakyat setempat dalam mendapatkan maklumat serta menyuarakan pandangan mereka demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.
“Kami terus komited untuk mengangkat martabat rakyat negeri ini dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perjuangan yang dibawa oleh parti ini,” katanya lagi. – UMNO Online