JoW Bawa Perkhidmatan Guaman Langsung Ke Pintu Rumah Masyarakat – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Justice on Wheel (JoW) dirangka untuk membawa perkhidmatan guaman secara langsung ke pintu rumah masyarakat, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan bahawa program JoW telah dilaksanakan di Sabah pada tahun lalu menyaksikan 28 program di lima daerah.

“Hari ini (Ahad) saya berada di Tawau, Sabah untuk menyempurnakan program pelancaran Justice on Wheels (JoW) di Dewan Masyarakat Tawau.

“Ini merupakan kesinambungan program JoW Sabah yang telah dilancarkan tahun lepas… menyaksikan sebanyak 28 program di lima daerah telah pun dilaksanakan serta dijangka akan diteruskan lagi di beberapa daerah seperti Batu Sapi, Tuaran, Beaufort dan Kuala Penyu.

“Dalam ucapan, saya menjelaskan JOW dirangka bagi membawa perkhidmatan guaman secara langsung ke pintu rumah masyarakat, sesuai dengan komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan tiada satu pun Rakyat MADANI tertinggal dalam mendapatkan hak mereka di sisi undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) sedang merangka inisiatif untuk mengukuhkan elemen bantuan guaman kepada rakyat.

“Selain itu, Kerajaan melalui JBG sedang merangka inisiatif seperti pendigitalan dan mediasi dalam mengukuhkan elemen bantuan guaman bagi dinikmati rakyat terbanyak.

“Turut hadir dalam majlis tersebut Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, Ketua Pengarah JBG, Datuk Norazmi Mohd Narawi, Pengarah JBG Sabah, Herlina Muse dan ketua-ketua masyarakat Tawau,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit