Beberapa Aspek Penting Akta Pembaharuan Bandar Perlu Diperhalusi – Zulfadli

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin berpandangan bahawa terdapat beberapa aspek penting dalam pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang perlu diperhalusi

Katanya ia bagi memastikan akta ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat, bukan hanya kepada pihak berkepentingan tertentu.

“Akta ini jika dilaksanakan dengan betul, berpotensi untuk membawa pembangunan yang lebih tersusun serta memperbaiki kualiti kehidupan di kawasan bandar.

“Pemuda UMNO Bahagian Batu menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya pembangunan yang tidak mengambil kira hak serta kebajikan penduduk sedia ada, terutamanya mereka yang telah lama menetap di kawasan yang bakal mengalami pembaharuan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa banyak projek urban renewal sebelum ini akhirnya menyebabkan penduduk asal dipinggirkan atas alasan pembangunan tanpa mekanisme pampasan atau penempatan semula yang adil.

Menurut Mohd Zulfadli ini bukan sahaja menghakis hak rakyat terhadap kediaman mereka, malah berpotensi memperluaskan jurang ekonomi di bandar apabila hanya golongan berada mampu bertahan dengan kenaikan kos hidup yang bakal berlaku.

“Selain itu, harga rumah dan kadar sewa di bandar sudah pun berada pada tahap yang membebankan terutamanya bagi golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana.

“Jika tidak dikawal dengan teliti, pelaksanaan akta ini boleh membuka ruang kepada pemaju untuk memonopoli kawasan bandar dan menaikkan nilai hartanah secara mendadak.

“Akhirnya, rumah yang dibina di bawah projek pembaharuan ini akan menjadi terlalu mahal untuk dimiliki oleh rakyat biasa, sekali gus menafikan matlamat asal untuk memperbaiki kehidupan masyarakat bandar,” tegas beliau.

Sementara itu Mohd Zulfadli juga berpandangan bahawa sebarang usaha pembaharuan bandar mesti dilaksanakan dengan ketelusan yang tinggi serta melibatkan suara rakyat, terutamanya golongan muda yang akan mewarisi bandar-bandar ini pada masa hadapan.

Katanya keputusan mengenai perancangan bandar tidak boleh dibuat secara tertutup oleh kerajaan dan pemaju sahaja tanpa konsultasi menyeluruh bersama penduduk setempat.

“Sebagai contoh penubuhan jawatankuasa pemantauan yang terdiri daripada wakil masyarakat termasuk anak muda, boleh memastikan setiap pelaksanaan projek urban renewal benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Batu menuntut agar kerajaan mengkaji semula pendekatan dalam pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar ini dan memastikan ia tidak menjadi alat kepada pihak tertentu untuk meraih keuntungan semata-mata.

“Sebarang dasar pembangunan bandar mesti berpaksikan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan keterangkuman golongan muda dalam setiap proses perancangan. Kami tidak menolak pembangunan, tetapi pembangunan itu harus bersifat adil dan berdaya huni.

“Kami akan terus memperjuangkan hak rakyat bandar dan memastikan suara anak muda tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan sebarang dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit