Henti Putar Belit Fakta, Isu Waktu Sekolah Ramadan Sudah Lama Dilaksanakan – Fikhran Hamshi

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi menyokong pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh yang menegaskan bahawa fakta dari Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek diputarbelitkan sehingga mengelirukan rakyat.

Menurutnya, tindakan tersebut sengaja diputarbelit fakta kerana pekeliling yang sebenarnya telah berkuat kuasa sejak 2022.

“Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sehingga mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat. Apa yang dinyatakan oleh beliau (Fadhlina), sebenarnya merujuk kepada pekeliling sedia ada yang telah dikeluarkan sejak tahun 2022.

“Pekeliling tersebut memperuntukkan bahawa sepanjang bulan Ramadan, waktu pulang bagi sesi persekolahan petang yang kebiasaannya tamat pada jam 6.30 petang akan diawalkan kepada jam 5.30 petang bagi Semenanjung Malaysia, dan jam 5.00 petang bagi Sabah dan Sarawak.

“Perkara ini telah pun dilaksanakan sejak tahun 2022 dan berterusan pada tahun 2023 serta 2024 tanpa sebarang isu. Oleh itu, tiada keperluan untuk menjadikannya sebagai satu isu yang tidak berasas,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Ujarnya, keputusan ini membolehkan guru-guru dan pelajar sesi petang mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan berbuka puasa.  

Fikhran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu berkata adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mempolitikkan perkara ini demi kepentingan tertentu.

“Semua pihak perlu menghentikan polemik tidak berfaedah ini dan fokus kepada isu-isu yang lebih penting untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan adalah wajar dan bertepatan dengan keadaan semasa,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau menyeru agar tiada pihak yang terus memainkan isu ini kerana ia sudah jelas tertakluk di bawah pekeliling yang telah berkuat kuasa sejak tiga tahun lalu.

Pada Isnin lalu, media melaporkan bahawa KPM tidak bercadang untuk memendekkan waktu persekolahan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menerusi pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM bertarikh 17 Februari 2025 memaklumkan bahawa waktu persekolahan sesi petang pada bulan Ramadan akan menggunapakai pekeliling 31 Mac 2023 sebagai rujukan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit