Pemerkasaan PMKS Untuk Masa Depan Ekonomi Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan salah satu daripada tunjang utama ekonomi negara.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, untuk itu usaha memperkasakannya perlu bergerak seiring dengan perubahan landskap perniagaan global.

“Kami telah meneliti strategi penskalaan untuk membantu perniagaan kecil berkembang ke tahap lebih tinggi.

“Antara tumpuan utama adalah mengenal pasti 500 firma berpotensi untuk program penskalaan, memperkukuh dasar pembangunan PKS, serta memastikan akses yang lebih luas ke pasaran antarabangsa,” katanya menerusi perkongsian di hantaran Facebook berkongsi dapatan daripada mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Dasar Francais Negara 2030 turut dibincangkan sebagai langkah untuk memperkukuhkan industri francais Malaysia sekali gus menjadikannya pusat francais serantau.

Tambahnya, dalam aspek pembiayaan pasaran modal negara disasarkan untuk mengumpul dana RM40 bilion menjelang 2028 bagi menyokong lebih 28,000 PMKS dan syarikat bersaiz sederhana.

“Dengan perancangan strategik dan kerjasama erat daripada semua pihak, insya-Allah, ekosistem keusahawanan negara akan terus berkembang seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi serta masyarakat,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit