Asyraf Wajdi Terima Watikah, Sambung Perkhidmatan Sebagai Pengerusi MARA
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menerima Watikah Pelantikan untuk menyambung perkhidmatan beliau selaku Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menerima watikah tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.
“Pagi ini menerima Watikah Pelantikan untuk penyambungan sebagai Pengerusi MARA bagi tempoh dua tahun bermula 1 Mac 2025 daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW.
“Pesanan Datuk Seri Zahid, ‘Asyraf, MARA adalah institusi orang Melayu-Bumiputera, perkasakan MARA untuk terus martabatkan agenda pendidikan dan ekonomi orang Melayu serta Bumiputera’,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh jujur dan amanah.
“Insya-Allah tanggungjawab yang digalaskan ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan penuh jujur dan amanah kerana ia bukan satu bentuk kemasyhuran (tasyrif) tetapi beban tanggungjawab besar (taklif) yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak.
“Mohon rakan-rakan doakan saya agar dipermudahkan untuk melaksanakan amanah bangsa dan agama ini,” katanya. – UMNO Online