Skuad Sayang 3K Malaysia, Sekretariat Wanita Profesional Anjur Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Saranan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, Sekretariat Wanita Profesional (SWP) dengan kerjasama Skuad Sayang 3K Malaysia (Team Kesihatan) telah menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma.

Pengerusinya, Dr Masliha Harun berkata, pogram ini diketuai oleh Komanden Kesihatan Skuad Sayang Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Norainie Ali.

“Tujuan utama program ini adalah untuk melatih pasukan kesihatan Skuad Sayang dalam melaksanakan saringan kesihatan umum kepada komuniti. Skuad Sayang Kesihatan yang telah dilatih dan menjalani praktikal telah diberikan sijil penyertaan pada akhir program.

“Pogram ini mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, termasuk peserta latihan yang komited untuk memperkasakan usaha kesihatan dalam masyarakat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Turut hadir menyokong program ini ialah Pengerusi Madrasah Nazariah Kg Puah, Dr. Ismail Maulud, yang juga merupakan Pakar Ortopedik di Pusrawi, bersama lebih 70 orang kariah yang aktif memberikan sokongan.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menambah selain pemeriksaan kesihatan, Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Norashekin Yusof, turut menyampaikan sumbangan kepada hampir 70 penerima dan Pengerusi Skuad Sayang 3K Malaysia, Hisham Suhaily, serta pasukannya turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.

“Kami berdoa agar Skuad Sayang Kesihatan Malaysia dapat menjelajah ke lebih banyak lokasi bagi menjalankan program kesihatan yang lain.

“Ilmu yang disampaikan dapat dipraktikkan dan latihan di bahagian lain serta program sebegini dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia bagi memastikan kesedaran kesihatan terus ditingkatkan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Dr Masliha turut merakamkan penghargaan kepada pasukan SWP team medic yang bersama-sama menjayakan program ini, yang diharap akan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit