UMNO Nafi Ada Kerjasama Dengan Warisan-Suhaimi Nasir
KOTA KINABALU,15 Feb – Selepas Parti Warisan, kini UMNO Sabah pula tampil mengesahkan bahawa tiada sebarang perbincangan rasmi antara kedua-dua parti itu untuk membentuk gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir susulan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrell Leiking pada Jumaat.
“Saya mengesahkan sehingga hari ini tidak ada sebarang perbincangan rasmi atau kesepakatan UMNO Sabah dan Parti Warisan.
“Ingin ditegaskan juga setakat ini UMNO Sabah belum ada keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, dengan kenyataan itu sekali gus menepis segala laporan yang tular sejak kebelakangan ini.
“Ini hanyalah spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Sabah.
“UMNO Sabah kekal fokus dalam memperkukuhkan parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, dalam menghadapi sebarang kemungkinan, UMNO Sabah telah bersiap siaga dengan strategi tersendiri.
“UMNO Sabah yakin dengan kepercayaan rakyat dan pengalaman parti dalam menguruskan kebajikan serta pembangunan negeri dan UMNO Sabah akan terus menjadi pilihan utama pengundi di seluruh Sabah.
“Sehubungan itu, UMNO Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas.
“Sebarang keputusan atau pengumuman rasmi akan dibuat melalui saluran yang sah pada masa yang sesuai,” katanya. -SH