Kerjasama Biro Agama Negeri Dan Majlis Ulama UMNO Beri Maklumat Agama Tepat Dan Sahih Kepada Masyarakat – Sulaiman Razak
KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pengerusi Biro Agama UMNO Negeri Selangor, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata kerjasama erat antara Majlis Ulama UMNO dan biro agama negeri-negeri mampu memperkasakan program-program keagamaan di peringkat akar umbi.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan untuk memberikan penjelasan agama secara menyeluruh kepada masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang.
“Kita memiliki ramai pakar dari Biro-biro Agama Negeri dan Majlis Ulama UMNO yang boleh memperjelaskan pelbagai isu, terutamanya berkaitan dasar kerajaan dan parti. Ini juga menjadi medium terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Majlis Ulama UMNO dan Biro Agama Negeri-negeri dapat berkerjasama serta membuat banyak program yang terus ke akar umbi seterusnya kepada masyarakat tidak mengira sama ada orang muda atau pun semua peringkat supaya dapat memberikan penjelasan agama.
“Langkah ini dapat memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu agama serta memastikan maklumat yang tepat dan sahih sampai kepada mereka,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Katanya lagi, dengan pendekatan ini usaha memperkukuhkan ilmu agama dalam kalangan rakyat akan menjadi lebih efektif sekali gus membendung sebarang kekeliruan.
Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang menjelaskan pendekatan Biro Agama UMNO Selangor kini memberi fokus kepada mendekati golongan muda dalam memahami kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada medan dakwah yang bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman anak muda mengenai isu-isu berkaitan agama dan negara.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada anak muda untuk bertanya terus kepada tokoh-tokoh agama dalam sesi dialog yang dianjurkan. Dengan cara ini, mereka boleh mendapatkan penjelasan yang tepat dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa program ini akan melibatkan pakar agama yang berkaliber bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami dengan jelas oleh generasi muda.
“Biro Agama UMNO Negeri Selangor yakin langkah ini dapat memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan anak muda serta memperkasakan lagi peranan parti dalam aspek keagamaan,” ujarnya. – UMNO Online