UMNOSiswa, NGO Berhimpun, Serah Memorandum Bantah Pelan Trump Usir Gaza
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Rakyat Malaysia terus menyatakan bantahan berterusan terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang berhasrat mengambil alih Gaza dan mengusir rakyat Palestin.
Kali ini, UMNOSiswa dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bersama dalam menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dengan menganjurkan Himpunan Bantahan Kepada Pelan Trump Usir Gaza.
Pengerusi UMNOSiswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali ketika ditemui berkata himpunan ini bagi menyatakan pendirian bahawa tiada kompromi terhadap sebarang usaha untuk menjajah Gaza.
“Penyertaan UMNOSiswa adalah untuk menyatakan pendirian selepas kenyataan media beberapa hari lepas bahawa tidak bersetuju dengan tindakan Trump yang mahu menjadikan tanah Gaza sebagai tanah umpama barang dagangan.
“Mereka hendak menjual beli tanah Gaza, yang mana sudahpun diketahui ia adalah hak milik kepada rakyat Palestin.
“Maka kehadiran kita di sini adalah untuk menyatakan pendirian yang jelas, ya… mungkin bilangan tidak ramai tetapi ini sudah cukup untuk menunjukkan kepada dunia bahawa sebenarnya UMNO Siswa dan UMNO Malaysia khususnya bersama dengan rakyat Gaza.
“Bahawa kita tidak boleh berkompromi lagi dengan tindakan Trump yang cukup biadab kerana di dunia pasca moden tidak boleh lagi untuk merelakan penjajahan baharu,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), himpunan ini diadakan usai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di sini dan dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Perarakan juga dilakukan oleh peserta himpunan daripada masjid ke Kedutaan AS bagi menyerahkan memorandum tersebut bantahan terhadap cadangan tersebut.
Terdahulu, Trump pada minggu lalu berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain, satu langkah yang bakal ‘menghancurkan’ dasar berdekad-dekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.
Trump mendedahkan rancangannya yang mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Washington.
Malah dalam petikan temu bual yang disiarkan Trump memberitahu Bret Baier dari Fox News bahawa “saya akan memilikinya” merujuk kepada Gaza. – UMNO Online