UMNO Terengganu Bantah Cadangan Mengarut Pecah Portfolio Menteri Hal Ehwal Agama

HULU TERENGGANU, 14 Feb – UMNO  Terengganu hari ini menolak sekeras-kerasnya cadangan Ahli Parlimen Raub,  Chow Yu Hui  agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua cabang, iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata cadangan berkenaan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1).

Tegas beliau sebarang usaha untuk menyamakan kedudukan agama lain dengan Islam dalam pentadbiran negara adalah satu tindakan tidak wajar, mengelirukan dan boleh menjejaskan keharmonian serta asas pembentukan Malaysia.

“Malaysia sudah lama mengamalkan kebebasan beragama, dan hak penganut agama lain sentiasa dihormati tanpa perlu diwujudkan portfolio khas.

“Sebarang usaha ke arah ini hanya akan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu serta membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mempertikaikan keistimewaan Islam dalam struktur pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Memetik laporan, media melaporkan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Rozi seterusnya menambah UMNO Terengganu menegaskan bahawa kedudukan Islam dalam sistem pentadbiran kerajaan mesti terus dipertahankan tanpa kompromi.

“Kami menyeru semua pihak, khususnya kerajaan, agar tidak melayan cadangan yang boleh menggugat kesejahteraan dan perpaduan rakyat Malaysia,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit