UMNO Sabah Fokus Perjuangan Rakyat, Tolak Politik Murahan Pihak Tertentu – Jeffery Nor
PUTATAN, 14 Feb – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed menegaskan bahawa UMNO Sabah tidak akan melayan politik murahan yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan parti itu.
Beliau mengakui wujudnya pihak yang sengaja memanipulasi isu serta menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan UMNO, namun parti itu tetap teguh dalam perjuangannya dan fokus dalam gerak kerja khidmat bakti demi rakyat.
“UMNO terus melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat tanpa menghiraukan serangan politik lawan yang cuba menjejaskan imej parti. Kami tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan hanya kerana kepentingan politik,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, Sabah masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi, masalah infrastruktur serta keperluan asas seperti air dan bekalan elektrik.
Tambahan pula katanya, kemajuan negeri terbantut ekoran pelbagai perkara dan kini turut dicemari dengan skandal rasuah melibatkan pemimpin kerajaan negeri, yang menurutnya semakin membimbangkan rakyat.
“Rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan yang stabil agar pembangunan dapat diteruskan dengan lebih baik berbanding keadaan sekarang dan pilihan raya akan datang adalah ruang terbaik untuk rakyat kembali memilih,” tambahnya.
Jeffery Nor menegaskan bahawa turun padang menemui rakyat bukan kerana kepentingan politik atau ada agenda peribadi, tetapi kerana amanah yang diberikan.
“Calon atau tidak, saya tetap turun bertemu rakyat. Inilah prinsip saya sejak dahulu dan sebati dengan perjuangan yang telah diterapkan dalam UMNO,” tegasnya.
Terdahulu, Jeffery turut meluangkan masa menziarahi penduduk di sekitar Putatan termasuk yang sedang uzur di Kampung Meruntum dan sebuah keluarga di Kampung Contoh yang kehilangan ibu tersayang baru-baru ini.
“Saya pernah menziarahi arwah sebelum ini, dan saya berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.
Selain itu, Jeffery turut menyampaikan sumbangan sebuah pendingin hawa kepada Tadika KEMAS hasil sumbangan seorang penderma.
“Terima kasih kepada penderma yang budiman. Saya doakan semoga anak-anak yang belajar di sini dapat menimba ilmu dalam keadaan selesa dan menjadi insan cemerlang di masa hadapan,” ujarnya. – UMNO Online