Mohamed Khaled Bertemu Pimpinan UMNO Pahang… Bincang Soal Pemilihan, Had Umur Puteri
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan pertemuan bersama para pemimpin UMNO Negeri Pahang pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Perlembagaan UMNO berkata, pertemuan tersebut diadakan untuk membincangkan had umur Pergerakan Puteri UMNO dan kaedah pemilihan.
“Mengadakan pertemuan bersama pimpinan UMNO Negeri Pahang dan Bahagian-Bahagian di Kuantan. Kehadiran saya di sini juga adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Biro Keahlian dan Perlembagaan UMNO.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail kerana hadir dalam pertemuan tersebut.
“Pahang merupakan negeri ketiga terakhir dalam siri Jelajah Biro yang saya pengerusikan. Ia membincangkan dua perkara utama, iaitu soal umur keahlian Puteri UMNO dan kaedah pemilihan kepimpinan di peringkat pusat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh ahli dan pemimpin untuk terus menyumbang kepada kemajuan serta kejayaan parti pada masa akan datang.
“Biro membawa perkara ini ke peringkat negeri untuk dibincangkan di peringkat bahagian masing-masing. Input daripada UMNO Bahagian diperlukan, lebih-lebih lagi keputusan ini memberi kesan kepada gerak kerja ke hadapan peringkat Bahagian.
“Seperti yang dinyatakan Menteri Besar sendiri, apa jua keputusan yang dibuat, akhirnya ia perlu memanfaatkan UMNO. Marilah sama-sama kita terus menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan parti kita. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online