Cadangan Lantik Menteri Agama Bukan Islam: ‘Bila Kaduk Naik Junjung’ – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas cadangan mewujudkan menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam dan mengumpamakannya seperti kaduk naik junjung.
Menurut beliau, ditambah pula ia adalah cadangan daripada wakil rakyat yang sepatutnya memahami Perlembagaan Persekutuan.
“Bila kaduk naik junjung inilah jadinya. Islam ini bukan agama rasmi, tetapi Islam adalah agama Persekutuan!
“Bila yang jadi wakil rakyat ni tidak tahu tahu fungsi kerajaan dan Perlembagaan dan sensitiviti yang perlu dihormati maka lahirlah wakil rakyat yang terlalu bangang begini rupanya.
“Kalau idea begini pon disokong dan tuduh orang yang menentang ini penyokong pembangkang, maka jawapan saya kepada kamu adalah, lebih baik pergi m4ti saja!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, perkara tersebut mencetuskan pertikaian apabila Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata cadangan melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan tidak wajar kerana tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata dokumen sejarah Perlembagaan tidak pernah membincangkan mengenai pelantikan menteri untuk agama bukan Islam, berbanding kedudukan Islam yang jelas dinyatakan dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan penubuhan institusi Islam. – UMNO Online