‘Saya Nak Tegaskan Jelebu, Negeri Sembilan Tidak Setuju Jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam Diwujudkan’
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Jelebu dan Negeri Sembilan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam, tegas Datuk Seri Jalaluddin Alias yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembila berkata, setiap cadangan dan perbahasan di Dewan Rakyat mestilah berpandukan Perlembagaan Persekutuan agar tidak mendatangkan sebarang polemik.
“Saya nak bercakap soal Perlembagaan Persekutuan. Saya dah lama di Dewan ini, setiap cadangan daripada blok pembangkang, waktu saya di sana dulu walaupun kami pembangkang, mempunyai asasnya.
“Asas kita adalah Perlembagaan Persekutuan. Apabila cadangan dan perbahasan kita di Dewan Rakyat berasaskan Perlembagaan Persekutuan, maka kita tidak akan lari daripada trek dan mendatangkan polemik.
”Kita tidak mendatangkan persepsi buruk di kalangan rakyat yang menjadi beban kepada Perdana Menteri dan Kerajaan untuk menjawab isu tersebut di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Jelasnya, Islam merupakan agama persekutuan dan ia tidak boleh diletakkan dalam satu keadaan yang mendatangkan polemik ataupun diperdebatkan.
“Saya nak sebut Perkara 3, agama bagi Persekutuan. Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
“Maknanya, agama Islam merupakan agama rasmi yang termaktub di dalam Perlembagaan dan tidak boleh diperdebatkan ataupun boleh mendatangkan polemik terutamanya untuk masyarakat Melayu beragama Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa kewujudan Menteri Perpaduan di dalam Kerajaan Perpaduan mampu untuk menjaga hal ehwal agama bukan Islam.
“Jadi, kerana itu saya nak tegaskan bahawa Jelebu dan Negeri Sembilan tidak bersetuju supaya diwujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam. Saya tidak bersetuju kerana kita dah ada Menteri Perpaduan.
“Menteri ini yang menjaga semua hal berkaitan kepentingan masyarakat bukan Islam, masyarakat Islam. Disebabkan itulah perpaduan dalam negara boleh bertahan sehingga hari ini. Ini adalah soal berkaitan keamanan, kesepaduan dan perpaduan,” katanya lagi. – UMNO Online