Menjelang Ramadan… Majlis Ulama UMNO Seru Umat Islam, Warga Politik Jaga Hubungan Bersaudara

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Majlis Ulama UMNO Malaysia dan Majlis Hal Ehwal Agama UMNO menyeru umat Islam di negara ini untuk terus memupuk ukhuwah harmoni dalam kalangan masyarakat Islam.

Menerusi kenyataan yang diberikan, mereka berkata ia ditambah pula dengan kedatangan bulan Ramadan yang menuntut umat Islam memanfaatkan kedatangannya dengan amalan ibadah di samping meningkatkan lagi hubungan persaudaraan Islam.

“Sempena dengan Ramadan yang bakal menjelang Majlis Ulama UMNO Malaysia dan Majlis Hal Ehwal Agama UMNO mengambil kesempatan menasihati seluruh umat Islam khususnya warga politik agar menjadikan ibadah sepanjang Ramadhan menerusi Solat Tarawih dan seumpamanya sebagai medium untuk meningkatkan lagi hubungan persaudaraan Islam dengan menjaga lidah dan tulisan khususnya.

“Kekalkan perbezaan pendapat dalam politik sebagai perbezaan ilmu dan idea sahaja namun kekal bersaudara dengan tidak mengutuk dan mencela peribadi serta berburuk sangka,” katanya.

Sementara itu Majlis Ulama UMNO Malaysia dan Majlis Hal Ehwal Agama UMNO memaklumkan telah mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan kehadiran Anggota Tertinggi Majlis Ulama UMNO Malaysia dan Pengerusi-pengerusi Biro Agama UMNO Negeri bagi membincangkan pelbagai penyelarasan program di negeri-negeri.

“Program di negeri-negeri bagi mengisi dan memperkasakan lagi pengisian Islam dalam negara ke arah memperkukuhkan naratif Malaysia sebagai negara Islam contoh dalam kerangka Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit