Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak: Jalan Berlubang Perlu Ditampal Kurang 24 Jam – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Syarikat yang bertanggungjawab untuk menyelenggara Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak perlu menampal jalan yang berlubang dalam tempoh kurang 24 jam, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak kini sudah 99 peratus siap dan tidak mempunyai tol.
“Malam tadi saya baru pulang dari Kuching, Sarawak. Kita ada program kolaborasi antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk memastikan usaha-usaha pembangunan rakyat dapat berjalan dengan lancar.
“Kita tahu bahawa Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini ialah lebuh raya tanpa tol, jaraknya 786 kilometer. Sekarang ini sudah 99 peratus siap dan ini adalah projek kerajaan yang bernilai RM16.1 bilion.
“Komponen projek ini terdiri daripada jambatan, lima hentian sebelah, tiga kawasan rehat dan rawat (R&R), persimpangan-persimpangan (interchanges) dan kita ada satu peratus lagi belum siap. Ia melibatkan pengalihan utiliti Pakej Kerja 11 di Miri dan kerja-kerja ‘pavement’ akan diselesaikan dalam beberapa ketika lagi. Jaraknya dari Teluk Melano ke Miri itu 786 kilometer dengan anggaran lebih RM20 juta, satu kilometer untuk empat lorong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Menurutnya, JKR telah melantik syarikat PBH Asset Management untuk menyelenggara Lebuh Raya Pan Borneo dalam tempoh tiga tahun bermula 1 September lalu.
“Bagi maksud mengenai penyelenggaraan, dengan kebenaran Kementerian Kewangan, JKR telah melantik syarikat PBH Asset Management pada 1 September 2024 untuk melaksanakan penyelenggaraan Lebuh Raya Pan Borneo dalam tempoh tiga tahun sehingga 31 Ogos 2027, melibatkan RM69 juta kerja-kerja rutin, berkala, ‘pavement’ dan bukan ‘pavement’.
“Jalan yang berlubang hendaklah ditampal kurang daripada 24 jam. Ini selaras dengan Dasar Sifar Lubang atau ‘zero pothole’ yang dilaksanakan di Jalan Persekutuan termasuklah di lebuh raya tanpa tol di Sarawak.
“Kita juga minta mereka mengadakan langkah awal pencegahan untuk tujuan keselamatan dan jika ada notis kerosakan, syarikat penyelenggaran boleh beri ‘notice of defect (NOD)’. Maka kita akan mohon peruntukan-peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan,” katanya lagi. – UMNO Online