MB Johor Bersyukur Kerajaan Pusat Lulus Peruntukan RM263 Juta Projek Pembangunan Infrastruktur 2025

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) atas keprihatinan meluluskan peruntukan signifikan berjumlah RM263 juta bagi tahun 2025 untuk negeri itu.

Onn Hafiz juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi kerana sudi menerima kunjungan hormat beliau serta delegasi Kerajaan Negeri baru-baru ini di sini bagi membincangkan hala tuju pembangunan infrastruktur negeri Johor.

“Menerusi perbincangan ini, beberapa isu dan perkara yang menjadi keutamaan negeri Johor telah dibangkitkan termasuklah projek hotspot banjir di Johor, projek pembangunan, serta penyelenggaraan jalan persekutuan dan jalan susur.

“Selain itu, penyelesaian projek jejambat Meridin East Pasir Gudang yang terbengkalai sejak 2021. Kerajaan Negeri turut mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian di mana langkah ini bakal membuka akses dua hala ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) serta mengurangkan kesesakan trafik di Pasir Gudang,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut adalah Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; dan Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Haji Lukman Abu Bakar dan serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor Ir. Zainal bin Tumian.

Tambah Onn Hafiz lagi, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan semua projek infrastruktur negeri Johor disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, termasuk memastikan penyuraian trafik dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan projek berjalan lancar.

“Besar harapan Kerajaan Negeri agar segala permohonan dapat dipertimbangkan demi memastikan Johor terus maju sebagai negeri yang berdaya saing dan makmur.

“Semoga hasil pertemuan ini akan membawa berita baik untuk seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit