Onn Hafiz Tekankan Pentingnya Kerjasama Negeri Dan Persekutuan Demi Kesejahteraan Rakyat

PUTRAJAYA, 5 Feb – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat diperlukan bagi memastikan setiap inisiatif dan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, pemanfaatan infrastruktur serta pembangunan ekonomi yang dirancang perlu memberi impak positif kepada Negeri Johor dan rakyatnya.

“Semoga segala perancangan yang dilaksanakan dapat memberi impak positif kepada pembangunan Negeri Johor, dan kesejahteraan serta kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-145 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Onn Hafiz menyifatkan mesyuarat tersebut sebagai platform penting untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat.

“Insya-Allah, segala perbincangan dan keputusan yang diambil adalah untuk kebaikan rakyat dan negeri Johor,” tambahnya.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri dari seluruh negara, bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta memastikan pelaksanaan dasar yang lebih efektif bagi pembangunan negara secara menyeluruh. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit