Naikkan Umur Keahlian Puteri UMNO, Beri Ruang Masa Wanita Muda Dalam Politik – Ameera
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang menyifatkan cadangan meningkatkan umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun sebagai penting untuk memberikan kelangsungan dalam melahirkan pemimpin bagi sayap parti itu.
Ketuanya, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata ini kerana pihaknya sentiasa memandang serius soal kelangsungan kepimpinan Puteri, tanpa mengetepikan aspek kematangan berpolitik.
“Berdasarkan tinjauan umum dan maklum balas yang diterima di peringkat akar umbi, hari ini wanita muda memilih untuk menyambung pelajaran, membina keluarga dan kerjaya.
“Hanya setelah perkara ini dikecapi, mereka selesa untuk berada dalam mana-mana parti politik,” katanya menerusi perkongsian di Facebook ketika menyuarakan cadangannya bagi mewakili 13 Ketua-ketua Puteri UMNO Bahagian yang hadir ke Taklimat Perlembagaan dan Keahlian UMNO Malaysia.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta kepimpinan UMNO Negeri Pulau Pinang pada Sabtu.
Ameera Nadia yang Ketua Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal dalam pada itu berkata meningkatkan had usia keahlian Puteri berupaya memberi ruang masa kepada wanita muda atas pagar untuk menyertai parti politik.
“… tanpa perlu mengabaikan perkara asas diri terlebih dahulu, selain memastikan berlakunya transition in leadership dari pemimpin senior kepada pemimpin junior.
“Semoga perkara ini mendapat sokongan tidak berbelah bahagian dari seluruh peringkat kepimpinan dalam usaha perkukuh sayap parti,” ujar beliau. – UMNO Online