Henti Berpolitik Di Dewan Rakyat, Manfaatkan Perbahasan Bawa Isu Negara – Manndzri

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk memanfaatkan persidangan Dewan Rakyat dengan membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Beliau berkata titah tersebut mengkehendaki perbahasan yang matang berbentuk ilmiah, berfakta bagi mengangkat aspirasi rakyat.

“Sebab kadang-kadang di dalam dewan itu pun masih lagi tak berhenti dengan politik. Jadi pesanan Yang di-Pertuan Agong adalah berhenti berpolitik di dalam dewan dan fokus kepada fakta iaitu keperluan masyarakat, itu yang perlu diperbahaskan.

“Kerana kadang-kadang dalam hendak mengangkat hujah… masing-masing gemar untuk ambil fakta yang mungkin hearsay diangkat di media maya.

“Jadi titah Yang di-Pertuan Agong ini berkehendakkan supaya ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih, menggunakan ruang yang ada itu sebaik-baiknya untuk manfaat negara dan rakyat, maksudnya tidak ada lagi istilah untuk menyerang sesama sendiri sehingga mengabaikan kepentingan negara,” katanya.

Manndzri berkata demikian ketika ditemui UMNO Online usai taklimat dan perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan bersempena dengan Persidangan Dewan Rakyat yang bermula minggu ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata Dewan Rakyat sebagai medan utama untuk kesemua ahli Parlimen memperkukuh kebersamaan dan perpaduan bagi memberi tauladan terbaik kepada rakyat.

Menurut beliau, ia penting bagi membentuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat yang majmuk untuk terus harmoni.

“Yang di-Pertuan Agong adalah Sultan Johor yang mempunyai konsep bangsa Johor. Konsep itu dibawa kepada Persekutuan ini. Maksudnya, kita tidak boleh bercakap berdasarkan kepentingan-kepentingan kelompok tertentu.

“Kalau kita ingin bercakap ia mestilah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Yang mana sudah termaktub dan diteruskan. Tetapi untuk hal-hal lain itu terutamanya yang berkaitan dengan parti jangan terlalu sempit pula hujahnya itu, sehingga kadang-kadang mengabaikan pihak-pihak yang lain.

“Ahli Parlimen hendaklah memberikan contoh kepada masyarakat di luar tak ramai pun hanya ada 222 orang saja. Tapi kalau di dalam itu gagal menunjukkan perpaduan, memberikan didikan tidak langsung kepada masyarakat di luar yang memerhatikan, siapa lagi yang nak diharapkan?

“Jadi mesej itulah sebenarnya saya rasa yang Yang di-Pertuan Agong nak sampaikan kepada ahli Parlimen sebab kita ini sedang diperhatikan,” ujar beliau.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari dengan menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari bermula Isnin baru-baru ini dan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit