Sekretariat Wanita Profesional (SWP) Tarik 120 Kanak-kanak Sertai Program Sunat Percuma
MELAKA, 4 Feb – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) memainkan peranan penting dalam Program Sunat Percuma yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan DUN Paya Rumput, Melaka.
Pengerusinya, Dr Masliha Harun berkata program ini dianjurkan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin.
Katanya, program tersebut menarik penyertaan seramai 120 kanak-kanak dengan penglibatan sokongan besar daripada pasukan SWP yang turun padang melibatkan 11 anggota bagi memastikan kelancaran acara.
“Seramai 120 kanak-kanak telah menyertai program ini, dengan 11 anggota pasukan SWP turun padang untuk membantu melancarkan perjalanan program. Kehadiran pasukan perubatan SWP yang datang dari Perak,Kedah dan Selangor turut memberi sokongan besar kepada usaha ini.
“Pelbagai gelagat anak-anak dapat disaksikan sepanjang program, menceriakan suasana dan mencipta kenangan manis bagi mereka yang terlibat. Program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar, dan diharapkan usaha murni SWP dalam membantu masyarakat dapat diteruskan di masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama kepada ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin kerana membantu anak-anak yang tidak berkemampuan untuk bersunat terutama anak ibu tunggal, asnaf dan golongan B40 serta terima kasih juga kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program sunat percuma ini.
“Terima kasih kepada ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini demi kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu, pada Sabtu lalu SWP telah terlibat pada program sunat percuma tersebut Dan bertujuan membantu keluarga kurang berkemampuan.
Ujar Dr Masliha, SWP berharap program seumpama ini pada masa hadapan dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat. – UMNO Online