Rasuah Di Sabah: Bung Moktar Kesal Cubaan Pihak Tertentu Fitnah ADUN UMNO

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kesal dengan cubaan pihak tertentu yang cuba untuk memfitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dalam isu rasuah di negeri tersebut.

Ujarnya, tindakan tersebut adalah tidak bermoral dan ia dilakukan untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

“Saya amat kesal apabila membaca satu artikel yang mendedahkan cubaan pihak tertentu untuk memfitnah ADUN UMNO.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, malah cukup memalukan kerana pihak yang terlibat sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengarang skrip semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

“Sehubungan itu, saya menuntut penjelasan daripada individu yang disebut dalam artikel tersebut, berkenaan dakwaan beliau terlibat dalam penyediaan skrip yang mengaitkan ADUN UMNO dalam isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam isu skandal rasuah ADUN Sabah.

“Isu video tular yang membabitkan skandal rasuah ADUN Sabah ini sukar untuk dinafikan lagi. Rakyat sudah mula sedar akan kebenarannya, dan hanya penyokong tegar parti mereka sahaja yang masih cuba mempertahankan sesuatu yang jelas terbongkar.

“Kami menggesa pihak SPRM untuk segera mengambil tindakan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi. Mereka yang melakukan kesalahan harus bertanggungjawab sepenuhnya. Jangan cuba melarikan diri atau berdolak-dalik apabila kebenaran terbongkar.

“Saya juga melihat bahawa mereka semakin tersasar, ibarat sesat di jalan yang terang, menghalalkan pelbagai cara demi menyelamatkan kuasa mereka. Namun, hakikatnya, perahu yang mereka naiki semakin bocor dan hanya menunggu masa untuk karam di tengah lautan,” katanya lagi.

Pada Isnin, MalaysiaKini menerusi artikelnya memaklumkan pemberi maklumat yang mendedahkan siri video mengaitkan beberapa ADUN Sabah dalam skandal rasuah mendakwa Mohd Arifin Mohd Arif menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman telah menawarkan penyelesaian untuk menutup mulutnya.

Menurut ahli perniagaan itu, tawaran penyelesaian yang didakwa termasuk pemulihan lesen penerokaan mineral yang telah dibatalkan dengan syarat dia mengeluarkan kenyataan umum bahawa dana yang bertukar tangan tersebut adalah sumbangan politik.

Mohd Arifin turut berkongsi draf kenyataan media yang dikatakan telah disediakan untuknya, menyatakan bahawa dirinya membuat ‘sumbangan’ serupa kepada ADUN daripada UMNO, Star dan PBS.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit