PLKN 3.0 Dilaksanakan Seluruh Negara Mulai Tahun 2026 – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kementerian Pertahanan telah membuat ketetapan untuk melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 semua negeri di Malaysia, termasuk Sarawak dan ia akan dijalankan di kem Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) mulai tahun 2026.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kriteria pemilihan pelatih, program PLKN 3.0 ini menetapkan beberapa syarat asas yang perlu dipenuhi.
“Semua remaja warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia telah mencapai umur tidak kurang daripada 16 tahun dan tidak melebihi 35 tahun. Berada dalam keadaan sihat dari segi fizikal dan mental untuk membolehkan mereka mengikuti pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang program.
“Bagi PLKN asas, pelatih-pelatih akan dipilih daripada remaja Malaysia yang dilahirkan pada tahun remaja tersebut berumur 18 tahun. Proses pemilihan pelatih dilaksanakan secara kerahan bersyarat dan terbuka kepada pelatih yang memenuhi syarat kelayakan yang ditentukan oleh badan pelaksana PLKN,” katanya di Dewan Rakyat di sini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kementerian bercadang mengadakan PLKN 3.0 di Sarawak dan apakah kriteria pemilihan pelatih serta apakah modul latihan yang akan diguna pakai.
Mengulas lanjut, Khaled yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan mengenai modul latihan pula, PLKN 3.0 dirangka dengan pendekatan yang menggabungkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan.
“Gabungan ini bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan, patriotik, dan memiliki kesedaran sivik yang tinggi.
“Latihan asas ketenteraan menekankan latihan fizikal dan mental yang bertujuan membentuk disiplin, keberanian dan semangat kerjasama.
“Manakala komponen kenegaraan 30 (peratus) pula memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, patriotisme dan perpaduan nasional,” ujarnya. – UMNO Online