Noraini Harap Sesi Parlimen Kali Ini Bawa Manfaat Kepada Negara, Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap agar sesi Parlimen ke-15 yang membuka tirai pada Isnin bakal membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen, semalam.

“Menghadiri istiadat yang berlangsung dengan penuh adat dan tradisi di Bangunan Parlimen Malaysia pada Isnin.

“Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Menjunjung kasih Tuanku!” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ke-4 Parlimen Malaysia tersebut akan berlangsung selama 18 hari.

“Dalam istiadat ini, DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menyampaikan Titah Diraja, yang mengandungi amanat serta hala tuju negara untuk tahun ini.

“Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ke-4 Parlimen Malaysia ini akan berlangsung selama 18 hari bermula pada 3 Februari sehingga 6 Mac 2025. Semoga sesi Parlimen kali ini membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Parlimen bukan tempat bertegang urat, memaki hamun, atau menabur fitnah.

Sultan Ibrahim bertitah, Parlimen merupakan dewan mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit