Memperkukuh Kesatuan BN Penting Demi Masa Depan Negara – Mohd Zaidy
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan kepentingan memperkukuhkan kesatuan serta hala tuju dalam kalangan kepimpinan Barisan Nasional (BN) demi masa hadapan parti untuk keseluruhan rakyat.
Beliau yang turut hadir ke Sesi Taklimat BN bersama Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 semalam menyambut baik idea dan cadangan yang dilontarkan mengenai kelangsungan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO dan BN sentiasa komited dalam memperjuangkan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Justeru, kita perlu terus berusaha memastikan kestabilan dan kemajuan negara berada di landasan yang tepat,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menekankan bahawa dalam tempoh 25 bulan yang lalu, BN bukan sahaja memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi turut menjadi tunjang kestabilan politik negara.
Namun katanya, kejayaan masa lalu tidak menjamin kejayaan masa hadapan.
“Cabaran sebenar adalah bagaimana kita terus melangkah ke hadapan dan memastikan rakyat menikmati manfaat daripada usaha kerajaan dalam bulan-bulan yang akan datang.”
Mohd Zaidy turut menegaskan bahawa hala tuju dan masa depan BN dalam Kerajaan Perpaduan memberikan keyakinan kepada akar umbi tentang kepentingan penyatuan dalam perjuangan parti.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar perancangan dan gerak kerja diperhebatkan bagi memastikan aspirasi BN untuk menarik kembali sokongan rakyat Malaysia menjadi realiti.
“Dengan penyatuan dan strategi yang kukuh, BN tentunya akan dapat memperkukuhkan kedudukan serta dapat kembali teguh untuk terus membela dan menjamin kesejahteraan rakyat agar dapat hidup sejahtera dan harmoni.
“Pesanan dan ingatan daripada Presiden perlu sentiasa disematkan khususnya melaksanakan kesepakatan yang jitu dan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur agar BN terus mara sebagai gabungan yang kukuh, relevan, dan sentiasa mendahulukan rakyat serta negara.” – UMNO Online