Kerajaan Pertimbang Akta 711 Untuk Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat – Azalina

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan terdapat keperluan untuk menambahbaik Akta 711 berdasarkan amalan terbaik dari negara lain termasuk daripada aspek pemakaian undang-undang berkaitan perkara sulit dan rahsia.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata ini melibatkan mekanisme pembatalan perlindungan yang diberikan dan perlindungan kepada agensi penguatkuasaan yang terpaksa mendedahkan identiti pemberi maklumat.

“Sepanjang usaha penambahbaikan untuk memperkukuhkan fungsi Akta 711 ini, pelbagai maklum balas penting telah diterima daripada agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

“Maklum balas ini diambil kira bagi memastikan cadangan pindaan memberikan impak yang positif terhadap sistem keadilan negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Antara pihak yang terlibat dalam memberikan pandangan menyeluruh ialah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Rasuah Busters, Transparency International, Majlis Peguam serta CSO Platform for Reform bagi memastikan semua aspek dipertimbangkan dalam proses pindaan ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan dari Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini pindaan kepada Akta Pemberi Maklumat 2010 serta menyatakan garis masa untuk Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia akan memastikan penambahbaikan Akta 711 dapat memberikan satu bentuk keadilan kepada pemberi maklumat.

“Ini adalah bagi memastikan penambahbaikan kepada Akta 711 dapat memberikan satu bentuk keadilan kepada pemberi maklumat sejajar dengan amalan terbaik yang disarankan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

“Ini turut serta memberikan keyakinan kepada rakyat untuk membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan cadangan pindaan kepada Akta 711 dan akan dibentangkan di Parlimen,” katanya lagi.

Azalina berkata beberapa cadangan dasar sedang dipertimbangkan untuk diangkat bagi pertimbangan Jemaah Menteri dalam menggubal cadangan pindaan kepada Akta 711 iaitu: 

  1. cadangan pengubahsuaian proviso di bawah seksyen 6 Akta 711 bagi mengelakkan percanggahan dengan akta-akta yang lain dan menggalakkan pendedahan Kelakuan Tidak Wajar tanpa sekatan di bawah undang-undang sedia ada yang lain.

2. penambahbaikan seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati ‘good faith’ dan tidak melibatkan sebarang kepentingan peribadi.

3. pemurnian percanggahan pemakaian seksyen 8 dan seksyen 14 Akta 711 melalui pengenalan peruntukan baharu bagi memastikan agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan efektif dan efisien tanpa melanggar peruntukan sedia ada di bawah Akta 711.

4. pengenalan skala ganjaran standard bersesuaian untuk memudahkan proses pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat.

5. cadangan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).

6. cadangan penubuhan Pasukan Petugas (Task Force) sebagai usaha peralihan kepada penubuhan Agensi Berpusat yang melibatkan fungsi penyelarasan dan pemantapan aspek tadbir urus bagi pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit